Header AD

PEMAIN BUKAN BERDARAH MALAYSIA SARUNG JERSI KEBANGSAAN MALAYSIA?



Setelah meneliti apa yang telah berlaku di masa lalu, sedang berlaku di masa kini dan akan berlaku di masa hadapan, maka dengan TERUS TERANG LAGI JELAS DAN NYATA, kami dari ULTRAS MALAYA MENOLAK DAN MEMBANTAH SEKERAS-KERASNYA sebarang bentuk polisi atau program yang membuatkan PEMAIN BUKAN BERDARAH MALAYSIA menyarung jersi Malaysia sekaligus beraksi untuk pasukan kebangsaan Malaysia.


Pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia WAJIB diwakili oleh pemain-pemain yang mempunyai DARAH MALAYSIA sahaja, bermaksud pemain yang darahnya tumpah di tanah Malaysia dan juga yang mempunyai hubung kait darah dari keturunan Malaysia (ibu, bapa, nenek, datuk, dll).

Segala bentuk polisi atau program yang sedang dijalankan untuk membawa masuk pemain bukan berdarah Malaysia ke dalam skuad kebangsaan adalah tidak perlu kerana ianya tidak memberikan manfaat kepada bolasepak Malaysia dari segi apa pun. Ianya dilihat sebagai satu usaha jalan pintas untuk menutup kelemahan sistem bolasepak Malaysia di peringkat pembangunan pemain akar umbi dan kelemahan sistem dan operasi pasukan di Liga Malaysia yang tidak dapat melahirkan pemain yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, asia mahupun dunia, sebaliknya hanya berada di takuk peringkat ASEAN sahaja, itu pun terkial-kial. 

Kita mempunyai bakat yang hebat, namun bakat yang hebat tersebut tidak diasah dengan baik melalui sistem yang baik dan operasi pasukan yang cemerlang.

Kami juga berpendapat, jika seseorang pemain bukan berdarah Malaysia memerlukan tempoh menunggu 5 tahun bermain di liga tempatan, adalah lebih afdhal jika tempoh masa 5 tahun itu digunakan untuk mengasah, membangun dan memperkasakan bakat tempatan daripada kita menumpukan perhatian kepada pemain bukan berdarah Malaysia.

Kami menyeru kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), adalah lebih baik mengalihkan tenaga, sumber dan semangat serta kesungguhan terhadap program dan polisi terhadap pemain bukan berdarah Malaysia ini kepada polisi dan program yang menguntungkan pemain berdarah Malaysia.
 
Letakkan kesungguhan sebagaimana kalian meletakkan kesungguhan terhadap program pemain asing tersebut kepada polisi dan program pembangunan pemain akar umbi di setiap pasukan dalam liga, beri penekanan terhadap pembangunan fasiliti pasukan profesional di dalam liga, berikan ketegasan terhadap salahlaku dalam operasi mana-mana pasukan di dalam liga seperti culas membayar gaji dsbnya. 

Selaku badan induk yang mengawal selia dan menguruskan bolasepak negara, kuasa di tangan anda, jadi gunakan kuasa yang ada untuk memperbetulkan perkara-perkara asas di dalam bolasepak daripada memikirkan tentang jalan pintas pemain bukan berdarah Malaysia untuk mewakili skuad kebangsaan.

Ultras Malaya membantah dan menolak sekeras-kerasnya sebarang polisi atau program pemain bukan berdarah Malaysia untuk menyarung jersi kebangsaan Malaysia dan beraksi untuk pasukan Malaysia. Harimau Malaya hanya untuk pemain berdarah Malaysia sahaja. Ini maruah kita, bukan mainan yang boleh dibuat main.

#DarahMalaysia
#SehatiSejiwa
#UntilTheLastRebel
PEMAIN BUKAN BERDARAH MALAYSIA SARUNG JERSI KEBANGSAAN MALAYSIA? PEMAIN BUKAN BERDARAH MALAYSIA SARUNG JERSI KEBANGSAAN MALAYSIA? Reviewed by AZ on June 14, 2021 Rating: 5

Post AD